Apakah dia istidraj?

Apakah dia istidraj?

Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu
tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.
Rasullulah s.a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala
memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka),
ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah
SWT." (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru
dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya
adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan
maksiat mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak
dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah
Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama islam




Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu seharisemalam,
bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja,
bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi,
hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula
orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya
tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak,dia boleh
hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka,
ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi
Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di mukabumi
tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan
semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan
ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia
merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang
beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli,
sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat
pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh
kaya macam aku, katanya sombong."

Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan
tujuan untuk menghancurkannya. Rasullulah s.a.w bersabda: "Apabila Allah
menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua
sayapnya" (Kitab Nasaibul æIbad)

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau
merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak
membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap,
anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap) ,dia
akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat,
cuba hendak melawan Allah Swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun
tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain
selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati,namun dia masih belum
mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya
tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia
begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan
seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja
kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama
hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita
kaya,jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya,akhirnya binasa juga.

Jadi,jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segalakeraguan
yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang
berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah
pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan
untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta
mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang
besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya
untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula
kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada
pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita
cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah.

Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu
dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu
ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke
jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah.
Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian
yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah
niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Wallahualam..



"Dari Abdullah bin 'Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda:
" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.."

Comments

Popular posts from this blog

Fakta yang Mungkin Betoi..

8 lies of a mother..

Nenekku PahlawanKu By Wali Band